top of page

Antropometrik

Ukurbadan badan atau antropometri merupakan perkara yang diambilkira untuk memastikan tujuan keserasian di antara manusia dan peralatan tercapai.

Menurut James F.A. et. al., (1996) dalam buku Occupational Ergonomics, Theory and Application, antropometri ditakrifkan sebagai pengukuran tubuh badan manusia secara sistematik merangkumi saiz dan bentuk. Maklumat ini disimpan dan dianalisis dengan kaedah statistik bagi tujuan mengkaji pola ukurbadan sesuatu bangsa. Bidang ukurbadan manusia telah mula digunakan oleh manusia umumnya di dalam kehidupan seharian.

 

Bidang ukurbadan manusia berkembang dengan pesat sejajar dengan revolusi industri untuk menghasilkan sesuatu produk dengan bilangan yang besar. Menurut maklumat ukurbadan antarabangsa yang dikeluarkan oleh pertubuhan buruh antarabangsa, ILO (1990) terdapat sepuluh kelasan bangsa bagi mengkelompokkan kepelbagaian saiz badan manusia. Kelasannya seperti berikut; bangsa Amerika Utara, Amerika Latin, Eropah, Africa, Timur Dekat, India, Asia, Selatan China, Jepun dan Australia. Kelasan ini dipecahkan lagi bagi mendapat gambaran yang lebih jitu, contohnya bangsa Asia yang dipecahkan kepada bangsa Asia yang mendiami Asia Tenggara. Maklumat lanjut boleh dirujuk kepada pertubuhan buruh antarabangsa, ILO.



Maklumat ukurbadan ini dimanfaatkan oleh industri bagi tujuan merekabentuk dan merekahias alatan yang sesuai dengan penggunaan sesuatu bangsa. Matlamat utama ukurbadan adalah memastikan keselesaan pengguna apabila sesusatu peralatan itu mempunyai keserasian yang bersesuaian. Keserasian pengguna dan peralatan dapat menghasilkan keberkesanan sesuatu pekerjaan. Sebagai serampang dua matanya tahap keselamatan dan kesihatan pekerja terjamin tanpa ada potensi kemalangan untuk terjadi.



Antropometri atau ukurbadan merupakan salah satu ilmu yang terkandung dalam lapangan ergonomik. Antropometri mempunyai matlamat untuk mengetahui pola taburan ukuran badan sesuatu populasi bangsa. Ukuran badan bagi bangsa Eropah tidak sama dengan ukuran badan bangsa Asia. Begitu juga ukuran badan bangsa Eropah tidak sama dengan ukuran badan orang Afrika.

Jadi, sebarang perabot yang direkabentuk khas kepada orang Eropah berkemungkinan besar tidak sesuai untuk orang Asia khasnya Malaysia. Ini kerana, pola taburan ukuran badan orang Eropah berbeza dengan orang sini. Orang Eropah sepertimana yang kita ketahui, tubuhnya lebih besar berbanding orang kita.

Oleh yang demikian, tidak semestinya buatan Eropah sesuai dengan kita walaupun ia bermutu tinggi sekalipun.







 

http://ergonomi-fit.blogspot.com/2011/03/variabel-antropometri.html

Facebook: Ergonomik & Kejuruteraan Manusia

bottom of page