top of page

Harta Intelek

Harta intelek (bahasa Inggeris: intellectual property atau IP) merupakan istilah yang merujuk kepada beberapa jenis ciptaan fikiran berlainan yang hak esklusif diakui di bawah bidang undang-undang berkait. Di bawah undang-undang Harta intelektual, pemilik diberikan hak esklusif tertentu bagi pelbagai aset tidak nyata, seperti muzik, penulisan, dan karya seni; jumpaan dan ciptaan; dan perkataan, farsa, symbol dan reka bentuk. Jenis biasa hak harta intelektual termasuk hak cipta, cap dagang, paten, hak reka bentuk dagangan dan rahsia perdagangan dalam sesetengah perundangan.

Harta intelek dalam bidang undang-undang merujuk kepada hasil kreativiti manusia yang merangkumi pelbagai perkara seperti karya muzik, sastera dan seni; rekacipta; dan simbol, nama, imej dan reka bentuk yang digunakan dalam perniagaan termasuk hak cipta, cap dagangan, paten dan hak-hak lain yang berkaitan. Di bawah undang-undang harta intelek, pemegang salah satu dari harta-harta yang bersifat abstrak ini mempunyai hak-hak eksklusif tertentu untuk harta intelek yang mereka cipta.


Pembangunan harta intelek di dalam sesebuah negara akan meningkatkan tahap inovasi, ekonomi dan menganjaknya ke sebuah negara berasaskan ekonomi pengetahuan. Kekuatan undang-undang harta intelek dalam sesebuah negara juga dikenal pasti sebagai faktor penting yang mempengaruhi pelaburan dari luar terutamanya untuk bidang perniagaan yang berasaskan pengetahuan.


Sungguhpun kebanyakan prinsip perundangan mengenai harta intelektual telah berubah selama beberapa abad, ia hanyalah pada abad ke-19 istilah hak milik intelektual mula digunakan, dan tidak sehingga akhir abad ke-20 ia menjadi meluas di kebanyakan dunia. Statut Anne British 1710 dan Statut Monopolies 1623 kini dianggap sebagai asal hakcipta dan undang-undang paten berikutnya.



 

Hari Harta Intelek Sedunia disambut pada 26 April setiap tahun untuk meningkatkan kesedaran masyarakat awam tentang apa itu harta intelek dan bagaimana ia menggalak bukan saja perkembangan muzik, kesenian dan hiburan tetapi juga inovasi produk dan teknologi



Di Malaysia, harta intelek yang dilindungi di bawah undang-undang adalah:

  • paten,
  • hakcipta,
  • cap dagangan,
  • rekabentuk perindustrian,
  • petunjuk geografi
  • reka bentuk susun atur litar bersepadu.

Varieti tumbuhan adalah komponen harta intelek dan ianya ditadbir oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia. Antara undang-undang yang melindungi harta intelek adalah:



  • Akta Cap Dagangan 1976
  • Akta Paten 1983
  • Akta Hakcipta 1987
  • Akta Rekabentuk Ciptaan Industri 1996

Mengikut laporan agensi antarabangsa Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO) mengenai perkembangan paten di Asia, China, Korea Selatan dan Jepun adalah negara yang berada di tempat 10 teratas sebagai negara yang paling banyak menfailkan paten. Untuk negara seperti Malaysia, terdapat penambahan 70% jumlah paten yang difailkan pada peringkat antarabangsa iaitu dari 60 ke 103 pada tahun 2007.

 

Hak cipta ialah satu set hak eksklusif yang mengawal penggunaan sesuatu pernyataan idea atau maklumat. Dalam kebanyakan kes, hak-hak ini adalah untuk tempoh yang terhad. Simbol untuk hak cipta ialah ©, dan di sesetengah bidang kuasa, simbol itu boleh digantikan dengan (c).




Hak cipta boleh wujud dalam berbagai-bagai karya kreatif, intelektual, atau berseni. Ini termasuk puisi, tesis, drama, buku, filem, karya koreografi (tarian, balet, dll.), gubahan muzik, rakaman audio, lukisan, arca, gambar foto, perisian, serta siaran radio dan televisyen, dan di sesetengah bidang kuasa, juga seni reka perindustrian. Hak cipta ialah sejenis harta intelektual; reka bentuk dan seni reka perindustrian boleh merupakan jenis-jenis harta intelektual yang berasingan atau bertindih dalam sesetengan bidang kuasa.


Undang-undang hak cipta hanya melindungi bentuk atau cara yang mana idea-idea atau maklumat-maklumat ditunjukkan, iaitu "bentuk pernyataan fizikal". Hak cipta tidak direka bentuk untuk tujuan melindungi idea, konsep, fakta, gaya, atau teknik yang wujud atau digambarkan dalam karya hak cipta. Undang-undang hak cipta memberi ruang untuk karangan sindiran dan karangan pentafsiran terhadap karya-karya yang mungkin mempunyai hak cipta pada dirinya.


Misalnya, hak cipta yang wujud dalam kartun Mickey Mouse melarang pihak-pihak yang tidak diberi kuasa untuk mengedarkan salinan-salinan kartun atau mencipta karya-karya terbitan yang meniru tikus antropomorfik Walt Disney, tetapi tidak melarang penciptaan karya-karya kesenian mengenai tikus antropomorfik secara amnya, asalkan karya-karya ini cukup berbeza supaya tidak meniru versi yang asli. Undang-undang yang lain mungkin mengenakan sekatan untuk penghasilan semula atau penggunaannya jika hak cipta tidak berbuat demikian, umpamanya tanda dagangan dan paten.



 

Paten adalah hak eksklusif yang diberikan terhadap suatu rekacipta sama ada suatu produk atau proses untuk menghasilkan cara baru bagi membuat sesuatu, ataupun penyelesaian teknikal bagi sesuatu masalah. Hak paten selalunya diberikan oleh kerajaan kepada seseorang pencipta atau pereka sesuatu ciptaan yang memberikan kepadanya hak sepenuhnya untuk membuat, mengguna dan menjual rekaan tersebut untuk satu tempoh masa yang tertentu. Di Malaysia, paten dilindungi selama 20 tahun dari tarikh pemfailan.


Pemunya paten boleh mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak lain yang melanggar haknya tanpa kebenaran pemunya paten.





Syarat
Paten akan dianugerahkan apabila ia menepati ciri-ciri berikut:



  1. Baru (novelti). Sesuatu rekacipta itu masih belum dizahirkan kepada orang awam di mana-mana di dunia.
  2. Melibatkan langkah merekacipta yang mana rekacipta itu tidak ketara kepada seseorang yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam bidang teknologi tersebut
  3. Boleh digunakan dalam mana-mana industry.

 

Paten di Amerika Syarikat memberikan hak secara eklusif untuk membuat, menggunakan atau menjual barang yang diberikan paten di Amerika Syarikat dan wilayah takluknya. Sebarang perlanggaran paten adalah kesalahan melanggar paten dan boleh menyebabkan saman dan ganti rugi dituntut oleh pemegang paten.
Syarat yang perlu dipenuhi sebelum pemberian sesuatu paten adalah kewujudan satu rekaan yang boleh diberi paten. Untuk menjadikan ia boleh diberikan paten, rekaan tersebut mesti berkait dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan seperti sumbangan, proses, mesin, pembuatan, komposisi bahan, jentera ataupun reka bentuk. Di Amerika Syarikat terdapat kelas-kelas berlainan untuk kategori-kategori yang berlainan.
Paten pertama direkodkan untuk satu proses perindustrian diberikan kepada seorang arkitek dan jurutera bernama Filippo Brunelleschi dalam tahun 1421 di Florence, Itali. Tempoh sesuatu paten biasanya di antara 16 hingga 20 tahun, walaupun di Perancis, umpamanya, paten diberikan tempoh kuatkuasa yang lebih pendek. Di negara komunis seperti bekas Soviet Union, paten tidak diperakui dan sebaliknya sijil diberikan kepada pencipta untuk mempastikan mereka mendapat satu bentuk ganjaran untuk rekaan ataupun ciptaan mereka. Persetujuan Pertubuhan Perdagangan Sedunia WTO dalam tahun 1990-an menetapkan bahawa paten perlu diberikan tempoh sah laku minimum 20 tahun. Paten dikira sebagai hak milik peribadi dan boleh dijual beli dan dipindah milik.



Tanda dagangan (trademark) ialah sejenis tanda atau penunjuk tersendiri yang digunakan oleh seorang individu, syarikat atau entiti lain untuk mengecam sumber barangan atau perkhidmatannya secara unik, dan untuk membezakannya dari hasil entiti lain. Ia merupakan salah satu daripada hak-hak intelektual.



 

Cap dagangan di Malaysia


Perlindungan cap dagangan diperuntukkan di bawah Akta Cap Dagangan 1976 dan Peraturan-peraturan Cap Dagangan 1997. Akta ini memberi perlindungan kepada cap dagangan dan cap perkhidmatan di Malaysia. Tempoh sah perlindungan adalah selama 10 tahun dan boleh diperbaharui selama 10 tahun lagi. Cap dagangan yang didaftarkan adalah milik pemunya dan tindakan undang-undang boleh diambil kepada sesiapa yang menggunakannya tanpa kebenaran pemunya.

bottom of page